Jersi pasukan kelab yang boleh menimbulkan keraguan kepada pemakai |
SEBAGAI peminat sukan bola sepak, sudah menjadi lumrah bagi seseorang itu untuk meminati sesebuah pasukan, khususnya dari Eropah.Sebagaimana maklum, kerana minat itu juga, ramai sanggup memiliki serta mendapatkan setidak-tidaknya jersi yang digunakan pasukan mereka sama ada yang tiruan mahupun asli.
Namun, dalam menzahirkan perasaan minat terhadap pasukan yang disokong, ramai ‘mengaburkan’ mata hingga sanggup memakai dan menggunakan jersi pasukan yang sebenarnya turut memaparkan pelbagai logo bertemakan salib atau gambar seperti syaitan.
Jadi, sebagai orang yang beragama Islam, saya ingin mengetahui, apakah hukum pemakaian jersi berkenaan dan jika benar ia dilarang, adakah dalil mengenainya.Ini kerana, berdasarkan perbualan bersama rakan, mereka mengatakan pemakaian jersi yang memaparkan lambang atau logo syaitan atau berbentuk salib adalah dibolehkan, cuma tidak boleh mengagungkan lambang berkenaan.
Menjawab persoalan ini, perlu diketahui bahawa pemakaian atau penggunaan lambang berbentuk syaitan atau yang memaparkan imej salib memang tidak dibolehkan bagi seorang Muslim. Ini kerana, seseorang yang beragama Islam tidak dibenar mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam.
Dalil larangan ini juga mudah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.” (Al-Maidah, 2) .Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan memberi apa juga bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal-ehwal yang bertentangan dengan akidah dan hukum Islam.
Ini dinyatakan olehnya dalam hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit.”
Dalam isu pemakaian pakaian atau jersi pasukan bola sepak yang diminati, seseorang itu perlu mengetahui dan meneliti lambang serta logo yang tertera adakah ia memang dizahirkan oleh pihak pasukan itu sebagai lambang salib atau bukan.
Jika ia bukan lambang salib tetapi dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri yang membayangkannya, tiada masalah untuk mengguna serta memakainya. Dalam hal ini, contoh terdekat adalah seperti logo kenderaan jenama Chevrolet yang mungkin boleh membuatkan seseorang itu berimaginasi ia adalah lambang salib tetapi pada masa sama individu lain pula berasakan sebaliknya.
Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta itu bukan salib.
Menyentuh mengenai minat terhadap bola sepak, sudah diketahui memang ramai antara kita meminati pasukan Manchester United hinggakan bukan saja sanggup memakai pakaian pasukan mereka, sebaliknya kerana minat juga, mereka mengagungkan logo pasukan itu dengan menampalnya di cermin kereta dan sebagainya.
Realitinya, Manchester United memang menggunakan lambang yang sinonim dengan bentuk syaitan sebagaimana lambang itu dikenali sebagai ‘Red Devil’ atau syaitan merah yang merujuk kepada pasukan berkenaan.
Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk syaitan sebenarnya, namun apabila manusia membuat imaginasi tersendiri mengenai bentuk syaitan, menamakannya sebagai ‘devil’ dan diterima umum sebagai satu lambang yang menjadi kemegahan, tatkala itu lambang ‘Red Devil’ yang berada di logo Manchester United juga termasuk dalam kategori tidak dibolehkan.
Logo ini memang tidak boleh digunakan, diiklankan atau disiarkan oleh seseorang Muslim sama ada untuk ditampal di dinding mahupun digunakan pada pakaian.
Justeru, apa-apa logo jika diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan dan dihiasi amalan dan perbuatan yang menyanjung kejahatan atau syaitan, ia haram digunakan.
Bagaimanapun, jika imej syaitan lebih membawa kepada hal bola sepak dan bukan lambang kepada perlakuan jahat dan maksiat, tatkala itu ia masih boleh digunakan.
Begitu juga jika ada individu tertentu berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya daripada mengakui ia sebuah lambang syaitan dan kekal berasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu boleh dan diharuskan baginya untuk memakainya.
Namun, perlu diberi perhatian, jika lambang itu boleh menimbulkan fitnah di kalangan individu lain yang melihatnya hinggakan pemakainya dianggap menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum ‘harus’ itu akan berubah kepada ‘makruh’.
Dalam hal penggunaan lambang atau logo ‘Red Devil’, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat.
Cara terbaik, sudah tentulah menjauhinya kerana ia mampu mewujudkan rasa ‘syubhah’.
Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah SWT tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya.
Jika berminat sekalipun, cukup setakat menyokong pasukan itu dalam perlawanan mereka tanpa perlu membabitkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi serta barang berserta logo sedemikian.
Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg, adalah muktamad hukumnya haram menurut hukum Islam berdasarkan dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.
Pengharaman juga adalah muktamad bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank konvensional yang menawarkan produk riba.
Umat Islam dilarang sama sekali secara sepakat ulama, mempromosikan mana-mana bank konvensional kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah SWT serta Rasul-Nya serta ia juga sama seperti seseorang itu berzina sebanyak 36 kali.
Hal ini juga disentuh oleh ulama terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menjelaskan: “dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi atau sebagai perhiasan.”
Jadi, kenyataan ini menjelaskan apabila seseorang itu menjadikan ia perhiasan sama ada di rumah atau pakaian untuk dipertontonkan, ia sebenarnya satu cara serta bentuk pengagungan terhadap lambang itu.
Maka, hukum memakai baju yang memaparkan lambang salib secara jelas dan berlogo apa-apa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan.
Manakala hukum memakai pakaian yang berlogo Red Devil adalah di antara harus dan makruh sebagaimana dinyatakan tadi.
Namun, jika ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram dan serta-merta tidak boleh dipakai Umat Islam.
13 comments:
betul2, nasib baik liverpool dah tukar..sedap sikit pakai ^_^
Ulamak sudahpun mengeluarkan fatwa, tapi dasar manusia, kalau dah minat dan obses, tidak nampak halal haram. tengku, terima kasih selalu singgah blog saya.
Wahhh isu yang berat ni...
Liverpool kalau dapat penaja yang suci dulu kan bagus mcm yusof tayoob ker he heee
ni standart chatered...secara peribadi aku memang membenci bank hehehehe
haha..sebab byk utang ker en.rabun..
Mr Rizal - tq too..
wan gerrard - Tu lah pasal..nasib tukar..skang beli tanpa was was..hahah
salam tuan blog,
tahniah dan terima kasih, blog yang mempunyai ruh sukan, walaupun saya peminat man utd, tp sy sangat suka baca blog tuan, tahniah
khattab
saudara khattab - terima kasih atas sokongan yg diberikan..memang meminati sukan bola sepak sejak berumur 8 tahun..terima kasih sekali lagi
Tengku - Tu lah pasal..nasib tukar..skang beli tanpa was was
Tapi SC bank? Camne? Ke sbb dia ada islamic product (Saadiq) di bolehkan ke?
Sy penyokong tegar LFC tapi mmg tak pernah beli baju/jersey kalau ada logo penaja daulu. Ingat tukar dah boleh start beli tapi sekarang....hu hu..how now? Harap Tengku dpt perjelaskan
Saya ni bukan lah arif pasal benda ni..tapi yg mana jelas haram macam arak & judi memang haram..yang agak kabur mcm bank2 tuh..minta lah pendapat dari yg lebih arif..nanti takut pendapat saya di salah erti.:-)
arak, judi.. memang xleh pakai (kire promote)..
kalo liverpool sekarang standard chartered... ade riba (bank mane xder riba zaman sekarang?)
.. zaman sekarang riba kat mane2.. kalo x buat.. tetap akan kena tempias riba ni.
buleh pakai atau tak? anda ade pakai baju bank2 lain? rase macam buleh.. tapi cari pendapat org lebih yang sepatutnye.. (dan orang tu bukan aku)
kalo buleh share sini
tu lah pasal..tp yg penting niat..ish tak mo lah ckp lebih2..nanti salah plak..kalau ade ustaz2 yg singgah kt sini..mai la bg pendapat no..terima kasih
Salam Tengku,
Sy Anon 21/1 ari tu.
Sy ingat Tengku yg tulis artikel ni, tu yg tanya tu. Rupa-rupanya check balik amik dari HM ..he he.
Tu lah ...sapa sapa yg arif bole bagi penjelasan amat di alu2 kan.
Cam mana pun tima kasih Tengku.
huuu..Anon..saya ni insan biasa..sekadar berkongsi sahaja..terima ksih sudi membaca blog saya..Tq
agak2.dekat logo-logo jersi EPL ada maksud apa2 tak??
Post a Comment